KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tidak wajar 12 menteri Kabinet yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ismail berkata tindakan 12 menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.
“Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan jemaah menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan…
“Malah tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.
“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya.
Kenyataan terbabit yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ismail turut berkata kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dankesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.
“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang…
“Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat,” katanya.