KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah berharap kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan bagi Fasa Peralihan Endemik akan turut mengambil kira kebajikan pengusaha pemandu bas sekolah.
Pengerusinya, Dato’ Chin Kim Hiung berpandangan kumpulan itu juga merupakan kumpulan ‘essential service’ (perkhidmatan perlu) yang turut menjalankan peranan penting semasa era pandemik COVID-19.
“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Sabah, Lee Man Kiong baru-baru ini bagi mendengar isu yang dihadapi.
“Saya mengambil maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha bas sekolah di Sabah yang mana mereka telah kehilangan punca pendapatan disebabkan oleh penutupan sekolah serta SOP ketat akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi mengatasi masalah itu, Pesatuan Pengusaha Bas Sekolah mencadangkan agar yuran bulanan sewa bas sekolah seharusnya terus dibayar.
Tetapi menurut Chin, ia difahamkan bahawa cadangan tersebut ditolak oleh ibu bapa yang mahu yuran bas sekolah hanya dibayar jika ada perkhidmatan apabila sekolah dibuka.
“Dalam hal ini, saya mencadangkan agar pengusaha bas sekolah dan ibu bapa mengadakan perbincangan dan mengambil keputusan ‘menang-menang’ bagi menyelesaikan isu ini…
“Ini kerana pada masa yang sama saya juga mengambil maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh kebanyakkan ibu bapa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.
Katanya lagi, LPKP hanya mengeluarkan lesen dan menetapkan kadar tambang bas sekolah manakala kaedah pembayaran adalah diputuskan di antara pengusaha dan ibu bapa atau pengguna.
Berkenaan cadangan untuk menaikkan kapasiti penumpang bas sekolah, Chin percaya kerajaan akan membuat pengumuman berkaitan dalam masa terdekat berdasarkan pengumuman Perdana Menteri berkenaan Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April nanti.