PUTRAJAYA – Seorang paderi didakwa di Mahkamah Jenayah Terhadap Seksual Kanak-Kanak di sini hari ini atas pertuduhan melakukan serangan fizikal seksual terhadap anak angkat perempuannya yang masih di bawah umur.
Memetik laporan Kosmo Online, berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh Liew Leow, 49, didakwa melakukan kesalahan terhadap anak angkatnya yang merupakan seorang warganegara China di sebuah rumah di Petaling Utama, Petaling Jaya dengan melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan kemaluannya dalam mulut kanak-kanak yang ketika itu berumur 11 tahun tanpa kerelaan pada November 2011 lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua iaitu enam tahun kemudian tertuduh didakwa melakukan serangan seksual fizikal dengan memegang kemaluan kanak-kanak itu di lokasi sama pada 7 Oktober 2017 iaitu kesalahan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dikhuatiri boleh menganggu mangsa yang merupakan anak angkat yang tinggal bersamanya sejak berumur sembilan tahun.
Paderi tersebut telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dengan salah seorangnya sebaya dengan mangsa.
Hakim Yong Zarida Sazali kemudian nya menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.