Usaha Persatuan Karyawan Malaysia Kumpul Dana Bantu Artis Tidak Berkemampuan Harus Dipuji...

Usaha Persatuan Karyawan Malaysia Kumpul Dana Bantu Artis Tidak Berkemampuan Harus Dipuji – Christina

0
SHARE
Christina
Christina (tengah) menerima poster promosi daripada Khadijah ( Sumber Foto: Ihsan KEPKAS )

KOTA KINABALU, SABAH – Usaha Persatuan Karyawan Malaysia mengumpul dana untuk artis yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan patut dipuji, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.

Beliau menggesa orang ramai untuk menyokong Majlis Makan Malam Amal bertemakan “Legenda” yang akan diadakan bagi membantu Tabung Kebajikan persatuan itu.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan menghulurkan bantuan yang diperlukan mengikut kapasitinya,” katanya kepada delegasi yang diketuai penyanyi legenda Malaysia Datuk Khadijah Ibrahim, baru-baru ini.

Walaupun mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya di Beaufort bulan lalu, Khadijah, yang juga pelakon veteran Malaysia, tetap bersemangat apabila memberi taklimat kepada menteri berkenaan konsert makan malam semasa kunjungan hormat itu.

Beliau berkata acara itu akan diadakan pada 1 November bermula jam lapan malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Selain dirinya sebagai penghibur, sepuluh lagi selebriti Malaysia yang akan memeriahkan malam itu terdiri daripada Man Keedal, Aina Abdul, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip, Jimmy Palikat, Ayu Damit, Azharina Azhar, Mad Sabah, Daniesh Suffian, dan Hairee Kool.

Menurut Khadijah, terdapat kira-kira 7000 artis di negara ini dan ramai daripada mereka adalah ahli Persatuan Karyawan Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Hasil daripada konsert makan malam selama tiga jam itu akan disalurkan untuk meringankan penderitaan ahli yang menganggur, berkerusi roda atau memerlukan rawatan perubatan,” katanya sambil menambah 15 artis dari Sabah memerlukan bantuan kewangan.

Khadijah diiringi dua ahli jawatankuasa penganjurnya, Datuk Zahra Ismail dan Zorah Khan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Josie Lai.