1,099 KES BUNUH DIRI DIREKOD SEJAK SETAHUN COVID-19 MENGGANAS

1,099 KES BUNUH DIRI DIREKOD SEJAK SETAHUN COVID-19 MENGGANAS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 di dalam negara sejak awal tahun lalu telah memberi tekanan kepada semua lapisan masyarakat, malah tambah tertekan lagi dengan ramai yang hilang punca pendapatan disebabkan pandemik ini.

Keadaan bertambah teruk apabila tekanan demi tekanan dihadapai akibat penularan wabak COVID-19 yang belum memperlihatkan sebarang titik noktah ketika telah menghimpit individu sehingga ada yang sanggup membunuh diri sebagai ‘jalan keluar’ daripada tekanan atau masalah yang dihadapi.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes bunuh diri telah dilaporkan hampir setiap hari.

Bagi tahun 2019, sebanyak 609 kes bunuh diri dicatatkan dan secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dari tahun 2019 hingga Mei 2021.

Angka ini diambil berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 631 kes bunuh diri telah dilaporkan sepanjang tahun 2020 manakala 468 kes dikesan berlaku hanya sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, secara purata, dua kes bunuh diri dilaporkan berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021.

Kata beliau, sepanjang tempoh antara 2019 hingga Mei 2021, mengikut jantina, seramai 1,427 wanita dilaporkan telah membunuh diri manakala bakinya 281 orang lelaki.

“Kebanyakan mangsa yang terlibat adalah berusia antara 15 hingga 18 tahun iaitu seramai 872 orang manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang…

“Johor telah mencatatkan kes tertinggi sepanjang tahun 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes.

“Tahun ini pula iaitu antara Januari hingga Mei, Selangor telah mencatatkan kes tertinggi mencecah 117 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, TIGA (3) punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

Menurutnya, cara membunuh diri yang paling kerap berlaku adalah sebanyak 75.1 peratus (75.1%), terjun bangunan sebanyak 13.6 peratus (13.6%) dan meminum racun sebanyak 5.7 peratus (5.7%).

Gambar sekadar hiasan..

Justeru itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan juga pihak-pihak yang menyediakan khidmat nasihat.

Masyarakat juga diseru agar memberi bantuan serta sokongan kepada individu  yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya.