
SEMPORNA, SABAH – Dua pelancong masing-masing dari Singapura dan Vietnam maut apabila van dinaiki mereka dirempuh treler yang hilang kawalan dan masuk lorong bertentangan di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau petang semalam.
Mangsa lelaki warganegara Singapura dikenali sebagai Lee Siong Huat, 60, dan mangsa wanita warganegara Vietnam ialah Ngo Trinh Buu Dung, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian jam 3.30 petang itu membabitkan tiga kenderaan iaitu treler, van pelancong dengan sebuah lori box.
“Treler terbabit berlanggar dengan van pelancong dari arah depan dengan muatan penumpang seramai lima warga Singapura dan satu warga Vietnam berusia 11 hingga 71 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, serpihan kemalangan terbang ke cermin hadapan lori box yang berada di belakang treler mengakibatkan cermin hadapan lori box pecah,” katanya dalam kenyataan media.
Pemandu treler dan lori box tidak mengalami kecederaan manakala empat pelancong Singapura termasuk seorang yang patah tangan dan seorang pemandu van persiaran tempatan yang mengalami cedera parah dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Mohd Farhan berkata pemandu treler warga tempatan berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan,” katanya.