KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah memaklumkan bahawa pihaknya berjaya melumpuhkan penyeludupan minuman keras dan rokok dengan nilai keseluruhan termasuk nilai barang dan cukai, iaitu sebanyak RM1,311,094.90 yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar, Tawau dan Semporna.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, rampasan minuman keras seludup dibuat di Pelabuhan Sepanggar pada 1 petang 18 Januari lalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menahan dan memeriksa tiga buah kontena yang mendarat di Pelabuhan Sepanggar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena-kontena tersebut bermuatan 8,100 karton minuman keras jenis beer pelbagai jenama yang telah diimport tanpa permit yang sah.
“Nilai keseluruhan minuman keras yang telah disita tersebut dianggarkan bernilai RM243,136.08 dengan cukai yang terlibat adalah RM994,612.62.
“Minuman keras adalah merupakan barang larangan Di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 di mana pengimportannya dibenarkan sekiranya ada permit import,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Siti turut memaklumkan kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.
“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang RM100,000.00 , amaun mana yang lebih besar, dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000.00, amaun mana yang lebih besar atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
Manakala, tangkapan bagi kes penyeludupan rokok pula dibuat pada 3.30 petang 17 Januari lalu dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau dan hari yang sama pada jam 7.45 malam serbuan turut dibuat di sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Tepian, Semporna.
Katanya, hasil pemeriksaan kedai runcit di Tawau mendapati sejumlah 1,600 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai barang RM310.40, telah disembunyikan di bawah meja juruwang di kedai tersebut. Anggaran nilai keseluruhan termasuk cukai adalah RM1,087.04.
Manakala di dalam kes yang berlainan, pada hari sama, jam lebih kurang 3.45 petang, sepasukan pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Tawau juga telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau.
“Pemeriksaan ke atas rumah tersebut telah dilakukan, hasil pemeriksaan didapati pelbagai jenama rokok yang disyaki barang larangan diletakkan di atas katil dalam sebuah bilik di rumah tersebut. Sejumlah 3,076 batang rokok pelbagai jenama yang
disyaki tak berkastam diletakkan di atas katil dalam sebuah bilik di rumah tersebut. Nilai barang yang terlibat dianggarkan RM530.00, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai adalah RM2,083.16.
“Rokok merupakan barang larangan di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dimana pengimportannya dibenarkan tertakluk kepada permit import,” jelasnya.
Modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah, membuat pengikraran yang tidak betul dan menyembunyikan barang larangan di lokasi tertutup bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
Hasil pemeriksaan rumah di tidak bernombor di Semporna pula telah menjumpai sejumlah 68,800 batang rokok yang disyaki barang larangan telah disimpan di dalam kenderaan jenis Proton Exora yang tidak mempunyai nombor pendaftaran. Nilai barang yang dianggarkan adalah RM22,384.00, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai adalah RM70,176.00.
Manakala, modus operandi bagi kes ini adalah dengan menggunakan kenderaan tidak bernombor bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.
Kedua-dua kes penyeludupan rokok kini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lainlain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. Penyeludupan
bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.