Buku Panduan EIA Edisi Ketiga Dilancar

Buku Panduan EIA Edisi Ketiga Dilancar

0
SHARE
Christina
Christina (tengah) meletakkan tapak tangan pada tab sebagai gimik perasmian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) melancarkan Buku Panduan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) Edisi Ketiga.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, buku berkenaan merupakan edisi terbaru yang dikemaskini dan diterbitkan pada tahun lalu, selepas buku edisi kedua pada 2005.

“Buku yang dikemaskini ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan proses penilaian alam sekitar melalui peningkatan ketelusan dan kejelasan prosedur dan panduan proses penilaian.

“Selain itu, buku ini juga sebagai panduan kepada pihak yang terlibat dengan penilaian kesan alam sekitar dalam menyedia dan menghantar laporan kajian bagi tujuan semakan dan kelulusan.

“Terdapat beberapa penambahbaikan utama dalam edisi kali ini antaranya aspek prosedur dan teknikal, format laporan kajian seperti ringkasan eksekutif dalam bentuk infografik untuk kejelasan dan kaedah penglibatan pihak berkepentingan yang lebih teliti,” ujarnya ketika berucap semasa melancarkan Buku Panduan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di Sabah (Edisi Ketiga) di sini, pada Khamis.

Christina berharap buku tersebut dapat menjadi panduan kepada perunding alam sekitar dan pihak berkepentingan dalam penyediaan laporan bagi memastikan sistem kajian kekal relevan dan menjadi alat yang berkesan dalam melindungi alam sekitar.

“Pertimbangan mengenai aspek perlindungan alam sekitar dari peringkat awal juga amat penting untuk dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar di negeri ini,” tambah beliau.

Terdahulu, seramai 160 orang terdiri daripada penjawat awam, badan bukan kerajaan, perunding alam sekitar dan pemaju menyertai Seminar Kesedaran Isu Alam Sekitar (Kerja Tanah) di lokasi sama.

Hadir sama, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Mohd Mohd Yusrie Abdullah, Pengarah JPAS, Vitalis Moduying, wakil Ketua Pegawai Eksekutif World Wide Fund (WWF) Malaysia, Dr Henry Chan dan wakil SUT Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Johnny Samson. — JABATAN PENERANGAN SABAH