Pembangkang Diingatkan Jangan Terlalu Berpolitik, Sabotaj Usaha Kerajaan Tangani Isu Rakyat

Pembangkang Diingatkan Jangan Terlalu Berpolitik, Sabotaj Usaha Kerajaan Tangani Isu Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Pembangkang di Sabah diingatkan untuk tidak terlalu berpolitik sehingga boleh sabotaj usaha kerajaan dalam menangani isu rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemimpin parti pembangkang di Sabah tidak ikhlas untuk membela rakyat dan memajukan Sabah.

“Ini kerana mereka terlalu kuat bermain politik untuk kekal relevan dalam politik Sabah sehingga menggunakan kemudahan asas seolah-olah masalah berkenaan hanya berlaku semasa kerajaan hari ini tanpa berbuat apa-apa untuk mengatasinya. 

“Kenyataan dan ucapan pemimpin mereka ini amat melucukan apabila menyentuh masalah-masalah legasi berdekad ini sedangkan masalah ini adalah masalah yang diwarisi akibat kegagalan kerajaan lalu.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong membangkitkan isu air masin di Sandakan, namun dia lupa bahawa semasa mereka menjadi kerajaan lalu, mereka telah menamatkan kontrak syarikat yang dilantik oleh kerajaan terdahulu tanpa sebab dan melantik syarikat kontraktor baru yang tidak melaksanakan kerja dengan betul,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin (11 Mac).

Sementara itu, Nizam berkata, kerajaan GRS-PH Plus di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa fokus untuk membangunkan Sabah dan meningkatkan hasil negeri di mana kerajaan telah pun memulakan tindakan untuk mengatasi masalah-masalah yang diwarisi dari kerajaan lalu.

“Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 adalah Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah untuk lima tahun yang bermula pada tahun 2021 meliputi semua aspek termasuklah perekonomian dan menaiktaraf kemudahan asas. 

“Pemimpin pembangkang tidak dapat menerima bahawa kerajaan sekarang selaras dengan Hala Tuju SMJ telah melaksanakan berbagai pendekatan sama ada berkaitan kemudahan asas, perekonomian, perindustrian, pendidikan dan semua pendekatan itu ada yang telah dirasai rakyat.

“Seperti inisiatif modal insan, biasiswa pendidikan, bantuan rumah SMJ dan ada yang masih dalam pelaksanaan dan penyiapan seperti projek naiktaraf loji rawatan air Kogopon serta Telibong 2 dan empangan hidroelektrik Ulu Padas Tenom,” jelasnya.

Tambahnya, tanggungjawab pembangkang yang baik ialah, memberi teguran yang membina kemajuan dan bukannya pula terlalu bermain politik.