TAWAU, SABAH – Percubaan seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bersembunyi di dalam sebuah kandang kambing di sini dapat dihidu oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) kelmarin.
Serbuan jam 5.50 pagi itu hasil risikan Tim QRF tentang kehadiran dua buah bot laju yang mencurigakan mendarat di Jeti Pemunggahan Balak Kampung Hidayat.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata bot laju yang dinaiki kesemua PATI dimaklumkan bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan Jeti Pemunggahan Balak Kampung Kurnia Jaya di sini.
“Bot laju yang membawa kesemua PATI tersebut dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas berjaya menurunkan kesemua PATI…
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

“Mereka terdiri daripada lapan (8) lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 51 tahun, dan dua (2) wanita dewasa berusia 33 dan 45 tahun.
“Kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka masuk ke Malaysia untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan.
Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 6.45 pagi bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.





