Lelaki Serang Orang Awam Selepas Ditegur Punca Kemalangan Berlaku

Lelaki Serang Orang Awam Selepas Ditegur Punca Kemalangan Berlaku

0
SHARE
Tangkap layar (screensgot) dua lelaki bergaduh di kawasan kemalangan di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh yang tular di media sosial...

IPOH – Seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan selepas dirinya ditegur kerana menyebabkan kemalangan jalan raya Jalan Raja Musa Aziz di sini pada Isnin.

Video tular di media sosial jelas memaparkan dua lelaki bergaduh berhampiran dua kereta rosak akibat kemalangan sambil ditenangkan oleh seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dua laporan diterima membabitkan mangsa pergaduhan dan kemalangan jalan raya.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek berusia 47 tahun melanggar kereta Toyota Camry yang dikendalikan wanita berusia 52 tahun. Punca kejadian dipercayai akibat suspek memandu di laluan bertentangan…

“Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu tampil memberi bantuan kepada mangsa namun suspek tidak berpuas hati dengan teguran kerana dikatakan telah menyebabkan kemalangan itu.

“Suspek menyerang salah seorang daripada orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, dua laporan polis dibuat masing-masing oleh orang awam dan wanita yang keretanya terlibat kemalangan dengan suspek.

Katanya, berikutan itu, suspek ditahan di Jalan Lahat pada pukul 12.10 tengah hari tadi.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ipoh esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.