SEMPORNA, SABAH – Sembilan termasuk tiga kanak-kanak diselamatkan pasukan Bomba selepas bot nelayan yang dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Tobo-Tobo petang tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa terdiri dari seorang lelaki dewasa, lima wanita, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
Difahamkan mereka dalam perjalanan ke Pulau Sumande sebelum panggilan kecemasan dibuat pada jam 3.45 petang.
“Kesemua mangsa terlibat berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan dinaikkan ke Bot Kevlar Bomba.
“Semua mangsa dilaporkan selamat dan seterusnya hantar ke Pulau Sumandeh untuk balik ke rumah masing-masing,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Setelah pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain operasi ditamatkan pada jam 4.48 petang.