Sabah Antara Terawal Bangunkan GRP, RN – KSN

Sabah Antara Terawal Bangunkan GRP, RN – KSN

0
SHARE
Safar
Zuki menyampaikan Anugerah Tokoh Produktiviti kepada Safar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah antara yang terawal membangunkan Pekeliling dan Polisi Amalan Baik Peraturan (GRP) serta Sistem Notifikasi Peraturan (RN) dalam talian iaitu SABAH e-RIA atau SeRIA.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali berkata perubahan dengan menerima guna teknologi, pendigitalan, data analitik, dan artificial intelligence perlu diterapkan dalam proses serta prosedur pematuhan peraturan perniagaan bagi memastikan ketangkasan dan ketelusan pelaksanaan.

“Dalam mendepani cabaran dan memastikan pengembangan ekonomi di setiap peringkat kalis masa hadapan serta krisis, berdaya tahan dan berdaya saing, reformasi peraturan mesti dijadikan keutamaan oleh agensi pengawal selia.

“Keutamaan pada tahun ini ialah kepada civil service reform, di mana usaha untuk regulatory reform adalah bahagian yang penting dalam merealisasikan perubahan dan pembaharuan perkhidmatan awam.

“Prinsip dan tatacara GRP mesti diterapkan oleh pembuat dasar dan pengawal selia dalam menggubal, menyemak serta melaksanakan peraturan seperti yang termaktub dalam Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP),” katanya semasa merasmikan Persidangan MyMudah@PemudahCara Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Negeri Sabah,” katanya.

Pemudahcara Sabah Maju Jaya (SMJ) atau dikenali sebagai Unit MyMudah di negeri-negeri lain merupakan manifestasi kerjasama sektor perkhidmatan awam dan swasta dalam meningkatkan tadbir urus serta platform menerima cadangan penambahbaikan kualiti peraturan selain cadangan daripada pemain industri berkaitan perniagaan.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited menambahbaik peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif.

“Usaha ini ke arah melonjakkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di negeri ini.

“Pelaburan, sama ada domestik atau dari luar negara, memberi kesan yang signifikan kepada pendapatan negeri, peningkatan taraf sosio-ekonomi setempat dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.

“Persidangan hari ini merupakan manifestasi kerajaan merentasi peringkat kebangsaan dan negeri, dalam memastikan perkhidmatan awam yang berintegriti, cekap, dan telus kepada komuniti perniagaan dan seluruh masyarakat.

“Selain itu, inisiatif ini merupakan cerminan kolaborasi utuh antara pihak kerajaan dan swasta, berteraskan pendekatan ’whole-of-nation’, dalam sama-sama komited membangunkan Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa komited dalam meneroka kaedah baharu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan untuk rakyat.

“Majlis ini merupakan manifestasi komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dan selaras dengan naratif yang diketengahkan oleh pentadbiran Sabah dalam merancakkan aktiviti ekonomi dan melonjakkan imejnya sebagai Negeri Mesra Pelabur – Friendly Investor State dan Ease and speed in doing business.

“Komitmen kerajaan negeri dalam menyokong GRP terbukti apabila dua dokumen iaitu Pekeliling Am Bilangan 1/2021 – Pelaksanaan Polisi Amalan Baik Peraturan bagi Negeri Sabah diluluskan pada 23 Ogos 2021 dan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 29 September 2021,” jelasnya.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah Makhzan Mahyuddin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman dan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH