Oleh: Mirlen Axtius KOTA BELUD: Dua individu ditemukan rentung dalam satu insiden kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat di Kampung Sangkir, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi.
Susulan itu, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 12.2 kilometer.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 3.04 pagi dan mendapati rumah berkeluasan 30 x 30 kaki itu sedang terbakar 100 peratus.
Sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada berhampiran turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Komander Operasi, PBK I Mohd Farhad bin Abdullah memaklumkan bahawa operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air bersumberkan jentera bomba.
“Dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 47 tahun, ditemukan rentung di dalam bilik mandi. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 pagi setelah kawasan disahkan selamat.
Operasi turut disertai oleh lapan anggota PDRM dan dua petugas perubatan dari agensi kesihatan.
Ketua BBP Kota Belud, PPgB Elgi Bakuk turut berada di lokasi sebagai Komander Operasi Kanan.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.






