Pembangunan Pekan Matunggong Yang Lebih Terancang Diteruskan

Pembangunan Pekan Matunggong Yang Lebih Terancang Diteruskan

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Usaha untuk membangunkan Pekan Matunggong yang lebih terancang diteruskan meskipun berhadapan dengan beberapa masalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Pekan Matunggong telah melawat ke cadangan tapak yang disediakan kepada jabatan dan agensi kerajaan yang merancang untuk membina pejabat di kawasan pekan tersebut.

Tanah Pekan Matunggong berkeluasan 267 ekar dan tanah ini telah digazet untuk tujuan pembesaran kawasan Pekan Matunggong bagi tujuan pembangunan komersial dan sektor kerajaan…

Julita (kanan) sedang berbincang dengan salah seorang pegawai ketika sedang membuat pemantauan ke tapak cadangan pembinaan bangunan baharu yang disediakan bagi jabatan dan agensi…

Penggunaan tanah di kawasan Pekan Matunggong hendaklah melalui kelulusan Jawatankuasa Teknikal tersebut untuk mempastikan pematuhan kepada zoning system yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Lembaga Bandaran Kudat dan pihak Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar.

Lawatan Julita bersama ahli-ahli jawatankuasa mendapati bahawa kawasan yang telah diperuntukan kepada Jabatan Pendidikan bagi cadangan pembinaan sekolah rendah yang baharu telah dimasuki oleh individu atau kampung bersebelahan dan jawatankuasa akan mengambil langkah yang perlu untuk mengenalpasti individu terlibat dalam tempoh masa terdekat.

Begitu juga dengan cadangan lokasi yang disediakan kepada pihak keselamatan (polis) dan bomba yang turut berhadapan dengan masalah dan situasi yang sama iaitu tapak yang dimasuki dan diusahakan dengan tanaman getah, kelapa dan pisang oleh individu tertentu yang juga akan dikenalpasti dalam masa terdekat.

Julita (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan pegawai kerajaan yang turut serta dalam kunjungan ke tapak cadangan pembinaan bangunan baharu bagi jabatan dan agensi…

“Jawatankuasa akan berusaha sebaik mungkin untuk berhubung dan memberi penjelasan kepada penduduk berdekatan bahawa kawasan tanah pekan yang telah digazet adalah tidak terbuka dan dilarang untuk diusahakan atau dipohon sebagai milikan individu,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat ketika ditemui pemberita.

Sementara ifu, semasa mesyuarat teknikal yang diadakan, jawatankuasa tersebut turut meluluskan tapak bagi pembinaan pejabat dan komponen berkaitan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang pembinaannya dijangka bermula pada tahun ini.

“Saya berharap beberapa perancangan lain yang disentuh dalam mesyuarat dapat dilaksanakan sebaiknya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” kata Julita…

Antara jabatan dan agensi utama yang turut serta dalam Mesyuarat Teknikal kali ini ialah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Lembaga Bandaran Kudat (LBK) Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pejabat Polis Daerah Kudat (IPD), Bomba, Veterinar, LIGS, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan Pejabat Daerah Kecil Matunggong yang bertindak sebagai Urusetia.