Peratusan Kes Sporadik COVID-19 Di Sabah Semakin Meningkat – Masidi

Peratusan Kes Sporadik COVID-19 Di Sabah Semakin Meningkat – Masidi

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Peratusan kes sporadik COVID-19 di Sabah semakin meningkat iaitu hampir 39 peratus (39%) daripada 639 kes keseluruhan yang dicatatkan hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah berkata, adalah dikhuatiri peralihan negeri itu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi akan meningkatkan risiko jangkitan secara sporadik.

“Kes-Kes sporadik biasanya berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi SOP semasa bergaul atau berada di khalayak ramai…

“Adalah amat diharapkan keseluruhan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP yang berkuat kuasa bagi mengelak jangkitan virus COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau yang dipetik Bernama turut berkata, menerusi pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa Tiga (3) PPN, setiap individu kini bertanggungjawab sebagai benteng barisan hadapan (frontliners) dalam usaha membanteras virus COVID-19.

Masidi juga berkata jumlah kes baharu yang didaftar semalam (16 Okt) menunjukkan penurunan sebanyak 81 kes berbanding 720 kes pada Jumaat (15 Okt) .

Beliau berkata daripada 639 kes baharu, sebanyak 350 atau 55 peratus (55%) adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas manakala selebihnya kes lewat didaftar sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 16 Oktober 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

“Keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari. Mereka yang telah divaksin (lengkap) memiliki imuniti yang lebih tinggi dan kalau pun dijangkiti hanya akan berada dalam kategori pesakit satu dan dua,” katanya.