Piala AFC: Sabah FC Buka Tirai Dengan Kemenangan 3-1

Piala AFC: Sabah FC Buka Tirai Dengan Kemenangan 3-1

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC bermula baik dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Likas, malam tadi dengan mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Hougang United FC 3-1.

Pada aksi malam tadi, penyerang skuad Sang Badak, Darren Lok membantu Sabah mencipta kemenangan selesa apabila menyumbang dua gol.

Darren menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-38 selepas berjaya meloloskan bola hasil sepakan sudut Saddil Ramdani ke arah gawang Hougang, sebelum sekali lagi mencipta jaringan melalui tandukan pada minit ke-62.

Menariknya, gol kedua Darren berlaku hanya seminit selepas pemain Hougang, Takayama Kazuma mencipta gol tunggal pasukan dari Singapura itu.

Jaringan Kazuma itu menimbulkan sedikit kekeliruan berikutan penjaga gol Sabah, Daimen Lim dilihat berjaya menepis keluar bola, namun semakan rakaman VAR mendapati bola sepakan Kazuma itu sudah melepasi sedikit garisan gol.

Terdahulu, Sabah berada di depan menerusi tandukan Gabriel Peres seawal minit kelima selepas menerima hantaran daripada Daniel Ting.

Secara keseluruhan, Sabah menguasai permainan sepanjang kedua-dua babak perlawanan, namun situasi padang yang licin berikutan hujan menggagalkan banyak percubaan mereka.

Sabah hampir menambah satu lagi gol pada minit ke-71 ketika berlaku situasi kucar kacir di hadapan gawang Hougang, namun percubaan Park Taesu terkena tiang gol.

Keputusan kekal 3-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.