PRN Johor Bermula Pagi Ini, 1,021 Pusat Mengundi Mula Dibuka Seawal Jam...

PRN Johor Bermula Pagi Ini, 1,021 Pusat Mengundi Mula Dibuka Seawal Jam 8 Pagi

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula pagi ini bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seramai 2,539,606 layak mengundi di 1,021 pusat mengundi, membabitkan 4,638 saluran yang mana bakal menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing yang akan ditutup jam 11 pagi, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil di Mersing pada jam 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup jam 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup jam 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup 6 petang.

Terdahulu, seramai 18,625 orang sudah menjalankan tanggungjawab mengundi awal pada 8 Mac lalu, membabitkan polis dan tentera serta pasangan, manakala seramai 36,729 lagi mengundi secara pos.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Pakatan Harapan (PH) bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Warisan Sabah (WARISAN); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat lagi membabitkan enam penjuru; lapan dengan saingan lima penjuru dan 35 kerusi lagi menyaksikan saingan empat penjuru.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Sumber Foto: Bernama…

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipetik Bernama turut memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon kebenaran pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.