Kenyataan “Terjun KLCC” Albert Tei Wajar Disiasat Di Bawah Seksyen 309 Kanun...

Kenyataan “Terjun KLCC” Albert Tei Wajar Disiasat Di Bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, menegaskan bahawa kenyataan Albert Tei yang beberapa kali mencabar diri untuk “terjun dari jambatan di Menara KLCC” bukan sekadar gurauan atau drama murahan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, tindakan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana dianggap cubaan membunuh diri.

Zulkarnain berkata, apabila seseorang menunjukkan niat untuk mencederakan diri secara terbuka, ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej peribadi, malah berpotensi menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, terutama apabila kenyataan itu dibuat di media sosial. 

Menurutnya, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk bertindak bagi memastikan keselamatan awam terpelihara.

“Selain itu, kenyataan seperti itu juga berpotensi disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ia dianggap menakutkan, menjelikkan atau mengganggu ketenteraman awam. 

“Media sosial bukan tempat untuk mencari simpati murahan atau mengugut diri sendiri demi perhatian.

“Saya menasihati agar Albert Tei mendapatkan rujukan psikiatri atau kaunselor profesional kerana tanda-tanda tekanan emosi yang serius boleh berlaku tanpa disedari,” katanya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebar ketakutan atau menjadikan ancaman terhadap diri sendiri sebagai hiburan awam.

Zulkarnain menekankan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan budaya politik tetapi juga membahayakan keselamatan individu dan masyarakat.

“Jika berasa tertekan, dapatkan bantuan; jika mahu perhatian, gunakan cara yang berhemah; jangan jadikan nyawa sendiri sebagai alat politik,” tegasnya.