LAHAD DATU: Kunak hari ini menjadi tumpuan apabila ramai pihak luar datang ke daerah itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 Sabah (PRU17) tidak lama lagi.
Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) Kunak, Datuk Norazlinah Arif berkata kehadiran pelbagai pihak luar seolah-olah menjadikan hari ini sebagai “Hari Melawat Kunak”, dengan parti-parti lain mula turun padang selepas lima tahun tidak muncul di kawasan itu.
“Hari ini ramai orang luar datang ke Kunak. Ibaratnya Hari Melawat Kunak, sebab lima tahun sekali baru mereka datang melawat Kunak,” katanya kepada Sabah News.
Beliau berkata demikian ketika selepas menyantuni jentera di PDM Mostyn di sini hari ini.
Awal pagi tadi, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir dalam siri jelajah ‘Inspirasi DSSA bersama Rakyat Kunak’ manakala di sebelah petang, Ketua Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hadir ke program ‘Bina Balik Kunak’ Xpedisi Pemuda BN di PDM yang sama.

Norazlinah, yang juga penyandang DUN Kunak, turut menyentuh mengenai kempen parti-parti lain yang mula digerakkan di Kunak, antaranya Barisan Nasional (BN) dengan tema “Bina Balik Kunak” dan Warisan dengan tema “Inspirasi DSSA”.
“Mungkin impian mereka untuk membina balik Kunak setelah mereka rosakkan sebelum ini,” katanya sambil menambah bahawa tema dibawa Warisan sekadar “inspirasi”, bukan perkara yang boleh dilaksanakan.
Beliau menegaskan, berbeza dengan parti lain, pasukan GRS Kunak tidak perlu berlawan program kerana mereka telah bekerja bersama rakyat sepanjang penggal lima tahun ini.
“Kami tidak mahu berlawan program. Kami sudah buat kerja ini sepanjang lima tahun. Fokus kami adalah memastikan gerak kerja akar umbi dilakukan dengan sebaiknya,” katanya.
Katanya lagi, walaupun pihak lawan berusaha menarik perhatian pengundi, beliau yakin kekuatan GRS di Kunak tetap kukuh kerana hubungan rapat dengan rakyat tempatan sudah terjalin lama.
“Kami bersama rakyat di Kunak, kami bersama akar umbi, dan kami tahu kekuatan GRS serta kekuatan kami di sini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






