PENAMPANG, SABAH – Seramai 19 warga asing tanda dokumen ditahan dalam operasi bersepadu lewat malam di kasawan setinggan Kampung Tebongon, Putatan, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata operasi 10 malam sehingga dua pagi Sabtu itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.
“Seramai 53 orang telah diperiksa iaitu mengikut pecahan 20 lelaki dan 33 perempuan.
“Operasi kali ini melibatkan seramai 39 anggota polis, sembilan penguatkuasa Imigresen Sabah dan lima pegawai JPN Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Jelas beliau, kesemua individu telah ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen sabah untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis dan agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa mempergiatkan operasi bersepadu sebegini dalam usaha mengekang kemasukan dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di dalam daerah Penampang khususnya.
“Mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta yang sama,” tegasnya.