KOTA KINABALU: Koperasi Kakitangan dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Sabah (KOPEKS) disifatkan sebagai contoh terbaik apabila berani menerokai pelbagai bidang perniagaan termasuk sektor kesihatan, sekali gus memperkukuh sumber pendapatan korporasi dan memberi pulangan lebih baik kepada anggota.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah KOPEKS mempelbagaikan aktiviti perniagaan membuktikan koperasi tidak seharusnya terikat kepada perniagaan teras semata-mata, sebaliknya perlu lebih kreatif dan proaktif menjana pendapatan.
“Saya berbangga apabila KOPEKS tidak hanya tertumpu kepada perniagaan kredit, tetapi sudah menerokai bidang kesihatan dengan tiga cawangan K-Care Klinik di Sembulan, Sepanggar dan Kota Belud. Ini contoh baik bagaimana koperasi boleh melangkah lebih jauh,” katanya selepas merasmikan premis K-Care Klinik KOPEKS di Sembulan, hari ini.
Menurut beliau, koperasi perlu mengubah persepsi bahawa ia sekadar entiti kebajikan kerana hakikatnya koperasi juga merupakan entiti perniagaan yang mampu menjana keuntungan dan memperkukuh ekonomi anggota.
“Kita jangan anggap koperasi sebagai aktiviti kebajikan semata-mata. Ia juga entiti perniagaan, bahkan boleh jadi lebih daripada itu jika diurus secara profesional dan berstrategi,” katanya.
Beliau turut memuji kepimpinan KOPEKS yang disifatkan terdiri daripada golongan profesional dan berupaya meneroka idea baharu termasuk potensi pengembangan perniagaan pada masa hadapan.
Sebelum itu, KOPEKS turut mengagihkan lebih RM300,000 dividen kepada anggota bagi tahun kewangan 2023 dan 2024, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang stabil hasil kepelbagaian aktiviti ekonomi yang dilaksanakan.
Mohamad berkata, kementeriannya akan terus menggalakkan koperasi di seluruh negara supaya mempelbagaikan bidang perniagaan termasuk dalam sektor ekonomi dan pelancongan, bagi memastikan pendapatan korporasi meningkat dan manfaatnya dapat dikongsi bersama anggota.






