TUARAN: Kerajaan Persekutuan mesti mematuhi keputusan mahkamah dan melaksanakan pembayaran berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sabah seperti yang telah diputuskan, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, keputusan mahkamah berhubung perkara itu perlu dihormati dan dilaksanakan sewajarnya demi memastikan hak Sabah dipenuhi mengikut peruntukan yang termaktub dalam MA63.
“Saya ingat perkara ini telah diputuskan oleh mahkamah. Kerajaan Persekutuan mesti patuh dan mesti membuat pembayaran kepada Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincangan di peringkat pegawai antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan masih berlangsung, dengan mesyuarat terkini telah diadakan baru-baru ini bagi memperincikan pelaksanaan pembayaran berkenaan.
“Mesyuarat di peringkat pegawai masih berjalan dan saya yakin kita akan mendapat hasil ataupun pembayaran yang akan dilakukan nanti oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut mengulas mengenai kejayaan pihak polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah berskala besar di Sabah dan menegaskan negeri ini tidak boleh dibiarkan menjadi lokasi transit sindiket dadah.
“Saya telah bercakap dengan Ketua Polis Negara supaya tindakan tegas diambil terhadap kartel dan pengedar dadah. Kita tidak mahu Sabah menjadi transit, sama ada untuk pasaran luar atau tempatan,” katanya, sambil menggesa kawalan lebih ketat di pintu masuk negeri melalui laut, udara dan darat dengan kerjasama polis, kastam serta imigresen.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur yang disifatkannya sebagai inisiatif baik untuk membantu rakyat menambah pendapatan walaupun tidak memiliki tanah yang luas, sama ada di kampung mahupun kawasan perumahan.






