Masyarakat Cina Rakan Strategik Kerajaan Bangun Negeri Sabah

Masyarakat Cina Rakan Strategik Kerajaan Bangun Negeri Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru masyarakat Tionghua di negeri ini supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik pembangunan dalam usaha membina Sabah yang lebih berdaya maju dan mampan.

Dalam perutusannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, beliau menggesa masyarakat Tionghua memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

Menurutnya, aspirasi kerajaan adalah untuk memperkasa pelaksanaan SMJ 2.0 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan ini bersifat inklusif dan kemakmuran negeri dapat dinikmati tanpa mengira kaum dan latar belakang rakyat, kerana perpaduan adalah kunci utama kestabilan serta kemakmuran negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang sarat dengan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Tionghua, malah menjadi platform memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Tahun 2026 yang disambut sebagai Tahun Kuda Api melambangkan tenaga, keberanian dan inovasi. Semangat ini harus menjadi inspirasi untuk kita terus melangkah maju dengan perancangan tersusun dan kerjasama erat demi pembangunan Sabah yang seimbang dan mampan.

“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Tionghua di Sabah dan di seluruh negara,” katanya.