Seramai 17 PATI Ditangkap Ketika Berasak Dalam Sebuah Kenderaan Hilux

Seramai 17 PATI Ditangkap Ketika Berasak Dalam Sebuah Kenderaan Hilux

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Percubaan 17 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia yang berasak di atas dan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux untuk bolos ke dalam negara ini berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM).

Seorang “tekong darat” yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun turut ditahan dalam insiden 8.30 malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau DSP Ridzauddin Selamat berkata pasukannya mengekori kenderaan terbabit dari Batu 4 dan akhirnya menahan suspek pada lampu merah di Batu 1.

“Tahanan PATI terdiri daripada empat (4) lelaki dan sembilan (9) wanita termasuk empat (4) kanak. Mereka berusia antara enam (6) bulan sehingga 50 tahun…

“Mereka baru sahaja tiba dari negara jiran menggunakan bot dan kesemua mereka tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Ridzauddin berkata kumpulan PATI tersebut pada awalnya “diatur” sindiket penyeludup menggunakan kenderaan ke arah tujuan menggunakan kereta Hilux terbabit.

Namun bedasarkan maklumat dan risikan awal PPM ditambah dengan kedudukan 17 penumpang yang melebihi had menjadikan proses itu amat ketara biarpun kepada mata orang awam.

“Kesemua tahanan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Tawau…

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM68,000. Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” tambahnya.

Tambahnya, PPM terus komited dalam menjalankan Operasi dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.

“Masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya diggalak untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wil.4 Sabah di nombor ‘013-9391197′ atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian ‘089-983628’…

“Ini bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” jelasnya.