
KOTA KINABALU, SABAH – Sabah berpotensi untuk memikat pelancong Jepun datang ke negeri ini dengan keindahan alam semulajadi selain destinasi yang menarik.
Perkara itu diperkukuhkan dalam lawatan pertama Pengarah Urusan Biro Pelancongan Jepun (JBT) Malaysia, Kiyoshi Fujita, ke Sabah, di mana beliau memuji-muji keindahan negeri ini.
Fujita berkata Sabah merupakan salah satu destinasi tumpuan di Malaysia dalam kalangan orang Jepun malah ramai penduduk negara itu pernah datang melancong ke negeri ini sebelum pandemik COVID-19.
“Ini adalah lawatan pertama saya ke Sabah dan saya berkesempatan melawat beberapa tempat menarik yang pasti menjadi popular dengan orang Jepun…
“Saya agak kagum, dan saya pasti pelancong Jepun tidak sabar untuk kembali ke Sabah,” katanya.
Pada Selasa lepas, Fujita mengadakan pertemuan dengan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, untuk berkongsi pandangannya mengenai potensi negeri ini untuk menarik pelancong Jepun. Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.
Dalam perjumpaan tersebut, beliau turut menekankan kepentingan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam industri pelancongan, sambil menyatakan bahawa Kerajaan Jepun sangat tegas mengenai perkara itu.
JTB ditubuhkan pada tahun 1912 dan ia merupakan agensi pelancongan terbesar di Jepun dan di serantau dunia.
Fujita dilantik sebagai Pengarah Urusan JTB untuk Malaysia sejak Februari 2021 dan dalam tempoh itu beliau sudah melawat Melaka, Langkawi dan Kuala Lumpur.
Beliau tiba di Kota Kinabalu pada 13 Nov untuk lawatan kerja selama empat (4) hari di mana beliau melawat Pasar Minggu, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Klias River Cruise, dan pusat peranginan antara lain.
Sementara itu, Joniston percaya Sabah dan Jepun berkongsi idea yang sama tentang pelancongan mampan dan ekopelancongan.
Beliau berkata pelancongan luar bandar boleh menjadi popular di kalangan pelancong Jepun, di mana mereka boleh melakukan aktiviti “shinrin-yoku” atau “mandi hutan” – konsep yang digunakan di Jepun untuk menggalakkan orang ramai meluangkan masa menikmati alam dan udara segar.
“STB sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kita di Jepun untuk terus mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan…
“Sudah tentu dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa tahun depan, kita tidak sabar mengalu-alukan kedatangan semula pelancong dari negara Jepun,” katanya.