TAWAU: Seorang lelaki tempatan yang positif dadah ditahan bersama 12.58 gram syabu dalam operasi rondaan cegah jenayah oleh polis di Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah hari oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Menurutnya, suspek berusia 30 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak gelisah sebaik anggota polis memperkenalkan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 12.58 gram,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kejadian sama, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, namun pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang bahan terlarang.
“Suspek kedua kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) untuk ujian saringan air kencing, namun keputusan adalah negatif sebelum dia dibebaskan,” jelasnya.
Jasmin menegaskan rondaan cegah jenayah di kawasan panas akan terus diperkasakan bagi mengekang aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti dadah dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.






