Isteri Mengaku, Suami Nafi, Bagi Bayi 16 Bulan Minum Susu Campur Syabu

Isteri Mengaku, Suami Nafi, Bagi Bayi 16 Bulan Minum Susu Campur Syabu

0
SHARE
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menganiaya bayi lelaki mereka

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi lelaki mereka yang berusia setahun, empat bulan dengan memberi minum susu bercampur air mengandungi dadah jenis syabu pada Isnin minggu lalu.

Tertuduh, Nabila Huda Fadli, 34 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh. Manakala, suaminya, Sofian Mustapa Zain, 40 tahun pula mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang sama.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan tersebut hingga menyebabkan bayi mereka mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’ di sebuah rumah pangsapuri di Taman Medan, di sini pada jam 6 petang, 19 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi kes.

Bagaimanapun, tertuduh, Nabila huda memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja selain perlu menjaga ibu dan tiga orang anaknya. Manakala, Sofian memaklumkan bahawa dia juga tidak bekerja tetap dan perlu menanggung keluarga yang lain.

Mahkamah kemudian menetapkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM5,000 seorang beserta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan. 

Hakim turut menetapkan, 13 Mac untuk fakta dan jatuh hukum bagi Nabila Huda, manakala lantikan peguam dan pengurusan kes untuk Sofian.

Terdahulu, pasangan itu ditahan selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air yang mengandungi dadah di sebuah flat di Taman Medan, 19 Feb lalu.

Difahamkan, bayi itu dihantar kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Ketika dalam jagaan neneknya, bayi tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal sebelum bertanyakan mengenai perkara itu kepada ibu bayi tersebut.

Ibunya kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi malang itu menggunakan air syabu milik suaminya.