KUALA LUMPUR: Kajian mendapati lebih separuh (67 peratus) rakyat Malaysia bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menerusi satu kajian yang dibuat oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD).
Dapatan itu berdasarkan tinjauan awam terhadap 2,633 responden, majoriti daripada semua demografi yang dianalisis termasuk bangsa, jantina, umur dan wilayah bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN.
Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee berkata, kajian itu mendapati dua pertiga daripada responden bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN dan hanya satu daripada 10 atau 11 peratus yang tidak bersetuju.
Tinjauan telah dijalankan dari 24 hingga 30 Januari lalu.
Katanya, 74 peratus responden beranggapan bahawa PLKN akan memberi kesan sangat positif atau positif kepada masyarakat di mana hanya minoriti, 4 peratus berpendapat PLKN memberi kesan negatif atau sangat negatif kepada masyarakat.
Menerusi tinjauan itu juga, generasi milenial (25 hingga 39 tahun) yang merupakan generasi pernah mengalami PLKN mempunyai pendapat positif tertinggi mengenai PLKN, iaitu sebanyak 78 peratus yang menilai program itu mempunyai kesan yang sangat positif atau positif kepada masyarakat.
“Apabila diminta untuk membandingkan keutamaan PLKN yang berbeza, perpaduan negara paling tinggi dinilai sebagai keutamaan oleh responden, iaitu 58 peratus, diikuti dengan pembangunan belia dan patriotisme, 56 peratus dan persediaan ketenteraan, 41 peratus,” katanya.
Tambahnya lagi, responden Melayu meletakkan patriotisme paling tinggi, manakala responden Cina, India dan Bumiputera lain meletakkan perpaduan negara paling tinggi.
Selain itu katanya, antara isu pelaksanaan PLKN, responden paling risau dengan gangguan seksual terhadap peserta dengan sebanyak 52 peratus menjawab sangat merisaukan, diikuti dengan buli terhadap peserta (49 peratus menjawab sangat merisaukan) dan kandungan berunsur berat sebelah politik (41 peratus menjawab sangat merisaukan).
“Kurang daripada satu pertiga daripada responden merasakan bahawa isu kos mahal untuk dijalankan (27 peratus) dan membuang masa (22 peratus) sangat merisaukan,” katanya.