7 Kampung di Kiulu Alami Masalah Bekalan Air Kritikal

7 Kampung di Kiulu Alami Masalah Bekalan Air Kritikal

0
SHARE
Joniston ketika membuat lawatan di Kampung Kelawat

KIULU: Sebanyak tujuh kampung di Kiulu mengalami masalah bekalan air yang cukup kritikal sejak kebelakangan ini.

Keluhan masalah bekalan air itu dinyatakan oleh lebih 200 penduduk dari tujuh kampung terbabit kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai. 

Ditambah pula dengan keadaan cuaca panas yang berlaku di hampir seluruh negara ketika ini yang sekali gus menyebabkan aktiviti harian penduduk di Kiulu terjejas.

Joniston berkata, dalam lawatannya kali ini, rata-rata penduduk kampung memberikan pandangan dan membincangkan langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang perlu diambil.

“Saya memandang serius gangguan bekalan air yang berlaruan di beberapa kampung dan menyebabkan kebimbangan kepada penduduk di Kiulu ini.

“Saya telah mendengar cadangan mereka, antara penyelesaian sementara yang dikenal pasti ialah menyediakan tangki air untuk menyimpan stok air di setiap kampung yang terjejas manakala untuk jangka masa panjang pula ialah dengan menggunakan pam air dari sumber air yang ada,” katanya selepas melakukan lawatan di Kampung Kelawat pada Rabu.

Tujuh kampung yang dikenalpasti terjejas itu adalah, Kampung Bungoliu, Kampung Tomis Baru, Kampung Kelawat, Kampung Simpangan Lama, Kampung Balabakan, Kampung Tomis Mangi Pangi dan Kampung Bongol.

Sementara itu, Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut memaklumkan bahawa Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) telah pun menghantar laporan mengenai keadaan tersebut kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Tuaran melalui Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

“Tindakan segera diperlukan untuk menangani masalah air yang semakin meruncing ini. Langkah yang diambil diharapkan dapat memberikan bantuan yang diperlukan kepada penduduk kampung yang terjejas.

“Kami akan terus memantau perkembangan mengenai usaha-usaha penyelesaian masalah air ini dan memberikan maklumat terkini kepada penduduk kampung sejurusnya,” katanya.