Tentera Rusia Semakin Menghampiri Kubu Ukraine

Tentera Rusia Semakin Menghampiri Kubu Ukraine

0
SHARE
Anggota bomba memadamkan api di sebuah kilang kasut yang musnah dibom dalam serangan udara Russia di bandar Dnipro, Ukraine...(Sumber Foto: AFP)

KYIV, UKRAINE – Tentera Rusia kini semakin menghampiri Kyiv meskipun dipertahankan sepenuhnya oleh tentera Ukraine bagai sebuah ‘kubu’.

Memetik laporan AFP, ratusan ribu orang awam terperangkap dan diserang di bandar-bandar utama Ukraine, termasuk Mariupol yang terkepung, selepas rundingan pertama antara Moscow dan diplomat tertinggi Kyiv berakhir semalam tanpa sebarang kemajuan.

Perkhidmatan kecemasan berkata, awal pagi ini pesawat perang Russia melaksanakan serangan secara langsung pertama ke atas Dnipro, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh.

Tiga serangan udara telah menghentam sebuah tadika, bangunan pangsapuri dan sebuah kilang kasut, menurut kenyataan pihak Ukraine.

Di lokasi lain pula, tentera Ukraine memberi amaran bahawa musuh cuba memusnahkan pertahanan pasukan Ukraine di sekitar wilayah di barat dan barat laut ibu negara dalam usaha menyekat akses ke Kyiv.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, berkata separuh penduduk bandar itu sudah melarikan diri dan ibu kota itu juga sudah diubah menjadi kubu.

“Setiap jalan, setiap bangunan dan setiap pusat pemeriksaan diperkuatkan,” katanya.

Tentera Russia kini mengepung sekurang-kurangnya empat bandar utama Ukraine dan kenderaan berperisai masuk ke pinggir timur laut Kyiv, di mana pinggir bandar termasuk Irpin dan Bucha pula sudah beberapa hari dilanda pengeboman berat.

Askar Ukraine juga menggambarkan pertempuran sengit berlaku untuk mengawal lebuh raya utama menuju ke ibu negara, malah wartawan AFP juga melihat serangan peluru berpandu di Velyka Dymerka, berhampiran bandar Kyiv.

“Ia menakutkan, tetapi apa yang boleh anda lakukan? Tiada tempat untuk benar-benar lari atau bersembunyi. Kami tinggal di sini,” kata Vasyl Popov, seorang jurujual pengiklanan berusia 38 tahun.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata beberapa bandar utama dan bandar pelabuhan selatan Mariupol dibom tanpa henti.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky…

Beliau mendakwa Moscow melancarkan ‘serangan kereta kebal’ yang menyasarkan bantuan kemanusiaan termasuk konvoi dihantar untuk cuba mendapatkan makanan, air dan ubat-ubatan ke bandar itu.

Zelensky, dalam satu kenyataan video, menyifatkan serangan itu sebagai ‘keganasan langsung’ dan berlaku sehari selepas pengeboman hospital kanak-kanak yang membunuh tiga orang, termasuk seorang gadis muda.