Maritim Negeri Sabah Tumpaskan Sindiket Seludup PATI Guna Bot Pancing

Maritim Negeri Sabah Tumpaskan Sindiket Seludup PATI Guna Bot Pancing

0
SHARE
Sindiket bot pancing yang menyeludup PATI Filipina dalam tahanan Maritim Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Maritim Negeri Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengangkut Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di perairan Kota Kinabalu dalam ‘Op Benteng’ baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan dan intipan mengenai aktiviti sindiket PATI yang menggunakan bot pancing tempatan bagi mengaburi penguatkuasa dalam membawa masuk dan keluar PATI di perairan Sabah.

“Operasi khas bagi menyerbu sindiket bermula dengan pengesanan ke atas sebuah bot pancing tempatan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan telah ditahan di kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika barat laut, Pulau Sepanggar, sekitar pukul 11.30 malam semalam (Selasa)…

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 11 individu termasuk tekong berada dalam bot tersebut.

“Tekong serta lima penumpang lelaki termasuk seorang remaja perempuan merupakan warga Filipina yang tidak memilik sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala, empat lagi penumpang warga tempatan terdiri dari tiga lelaki dan seorang wanita.

“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan sembilan hingga 61 tahun,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Siasatan awal mendapati, sindiket terbabit menggunakan bot pancing sebagai kaedah pengangkutan pergi dan balik dari Kota Kinabalu ke Pulau Banggi yang bersempadan dengan Filipina.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan seksyen 8(2) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002…

“Bot, tekong dan penumpang dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Dalam kejadian berasingan, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran ditahan di di perairan Tanjung Gaya sekitar 12.05 tengah malam tadi disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot telah membawa kepada penahanan tiga kru lelaki berumur antara 16 hingga 33 tahun kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bom,” jelas Rosli.

Ketiga-tiga kru sebuah bot pancing yang disyaki sebagai pengebom ikan…

Katanya lagi kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda dibawah sekyen 26(1)(b) tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Aktiviti mengebom ikan ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara malah memberi kesan buruk terhadap ekosistem laut kerana boleh memusnahkan batu karang yang menjadi habitat kepada ikan-ikan kecil dan hidupan marin yang lain…

“Aktiviti ini juga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian kepada si pelaku dan mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Maritim Malaysia akan terus melakukan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan PATI dan bom ikan ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti tersebut,” beliau berkata.

Tambahnya kawalan sempadan perairan negeri Sabah juga akan terus diperkasakan agar aktiviti kemasukan PATI dapat dibanteras.