Ketua Menteri Hajiji Ketuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Jemaah Menteri

Ketua Menteri Hajiji Ketuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Jemaah Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, di sini.

Sejurus selesai melafazkan ikrar, beliau bersama barisan Ahli Jemaah Menteri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah itu merupakan satu komitmen amat positif daripada kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus yang baik.

Menurutnya, inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan keberkesanan serta kesungguhan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta, akan tampil menyertai program IBR sebagai langkah memperkukuh budaya integriti di negeri ini.