KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah akan meminta syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC) menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka.
Jurucakap COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata vaksin yang selebihnya akan didermakan secara PERCUMA kepada rakyat Sabah yang layak.
“Inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah…
“Kerajaan Negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.
“Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada Kerajaan Negeri setiap tahun,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pada waktu yang sama, syarikat-syarikat swasta khususnya dalam perladangan besar juga amat digalakkan melaksanakan Tanggungjawab Sosial Koprat (CSR) untuk kebajikan pekerja-pekerja mereka.
“Syarikat-syarikat besar ini dianjurkan untuk membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma yang diberi oleh Kerajaan…
“Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar iaitu 80 peratus (80%) daripada pekerja ladang adalah rakyat asing.
“Program amal atau CSR ini akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah tanpa mengira warganegara.
“Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang-ladang besar yang berjaya memberi vaksin kepada semua pekerja mereka (termasuk keluarga) beroperasi semula dengan kapasiti tenaga seratus peratus,” katanya lagi.
Di samping itu, Syarikat milik Kerajaan, Qhazanah Sabah Sdn Bhd (dahulu Warisan Harta SB) telah dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah.
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2021/08/qhazanah.jpeg)
Pharmaniaga memunyai kemudahan penyimpanan vaksin di Kota Kinabalu dan kapasiti pengeluaran Sinovac di kilang Pharmaniaga di Kuala Lumpur adalah 4 juta dos sebulan.
“Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk membeli sendiri vaksin untuk pekerja-pekerja mereka boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah di Kota Kinabalu…
“Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka adalah bagi mempercepatkan negeri Sabah mencapai imuniti kelompok dan pada masa sama membolehkan syarikat-syarikat tersebut beroperasi sepenuhnya apabila semua pekerjanya lengkap diberi vaksin.
“Langkah ini akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri kita,” jelasnya.
Sekali lagi Masidi mengulangi bahawa vaksinasi adalah kunci kepada usaha yang berkesan memerangi pandemik COVID-19 di Sabah.
Dalam masa yang sama seluruh penduduk juga harus bekerjasama dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP).
Beliau menegaskan pengurangan risiko penjangkitan virus berkenaan akan datang dengan menjaga kesihatan secara penuh disiplin.
Katanya COVID-19 sudah pun berada dalam komuniti dan jangkitan bukan lagi berlaku di lokaliti terpencil yang mudah dibendung dengan mengenakan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sekarang ramai orang secara tidak sedar berkemungkinan tinggi pembawa virus yang dengan mudah menjangkiti orang lain…
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan Covid-19 dan kita semua harus menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama COVID-19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.
“Kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua SOP dan norma kehidupan seharian yang baharu,” kata beliau.
Sementara itu, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang lain.
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2021/07/Dr-Rose-Nani-Mudin.jpg)
Sehingga Selasa (11 Ogos) 42 peratus penduduk Sabah telah memperolehi satu dos dan 18.1 peratus (18.1%) penduduk telahpun melengkapi dua dos vaksin mereka.
Namun begitu, pencapaian pemberian vaksin disetiap daerah masih tidak seimbang.
Masidi berkata sebagai misalan, di daerah Beaufort 50.7 peratus (50.7%) penduduk telahpun melengkapi pengambilan 2 dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah dimana pencapaian mereka kurang daripada 12 peratus.
“Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya…
“Kabinet Negeri juga dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri bahawa setakat ini, bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah cukup.
“Bekalan 1.5 juta dos vaksin bagi Sabah sudah pun mula diterima sejak minggu lalu,” kata Masidi lagi.
Beliau berkata mengikut sumber-sumber yang sahih ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran yang memberi impak kepada negara-negara yang menggunakan vaksin tersebut dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada kesan gangguan pengeluaran ini.
“Sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan gangguan bekalan vaksin yang boleh mejejas usaha kita untuk mencapai imuniti kelompok, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membeli vaksin sendiri bagi menampung kekurangan sementara ini…
“Kerajaan Negeri menjamin pemberian vaksin secara percuma kepada semua penduduk Negeri Sabah,” katanya.