Ibu Ebi Kornelis Meninggal Dunia Akibat Jangkitan COVID-19

Ibu Ebi Kornelis Meninggal Dunia Akibat Jangkitan COVID-19

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ibu kepada penyanyi dan pelakon tempatan Ebi Kornelis meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kira-kira jam 9.42 malam tadi (Selasa) selepas dibawa ke hospital berkenaan pada tengah hari kelmarin.

Ebi yang kini masih menerima rawatan akibat jangkitan COVID-19 hari ini mengesahkan perkara itu, namun beliau hanya mengiyakan sahaja khabar duka itu dan enggan bercakap lanjut kerana berada dalam keadaan lemah.

Berita kematian ibu Ebi iaitu Reni Bakar, 81, dikongsikan kenalan dan rakan beliau melalui laman Facebooknya yang merakam ucapan takziah selain mendoakan agar Ebi yang juga Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu terus tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Tedahulu pada 8 Ogos lalu, Ebi turut berkongsi di laman Facebook mengenai keadaan dirinya dan ayahnya, Yaimal Muhammad, 74, yang dijangkiti COVID-19.

Difahamkan, ayahnya juga masih menjalani rawatan akibat jangkitan virus berkenaan di HQE.

Ebi sebelum ini turut menyatakan kerisauannya mengenai keadaan ibunya yang berseorangan di rumah selepas dia dan ayahnya terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) sebelum dimasukkan ke hospital.

Dalam perkongsian di Facebooknya sebelum ini, Ebi menitipkan kata-kata peringatan kepada pengikutnya bahawa COVID19 bukan mainan, selain memohon agar didoakan kesembuhan daripada ancaman virus berkenaan.

“Ya Allah Ya Tuhan ku, tuhan yang maha besar memiliki segala isi bumi dan langit…Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19…

“Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin.

“Aku terima ujian Allah…..Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah..#covid19 #covidbukanmainan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau sebelum ini.

Sumber Foto; Laman media sosial Facebook milik Ebi Kornelis…