MDCT Scanner Baharu Hospital Kota Marudu Manfaatkan Lebih 190,000 Penduduk Utara Sabah

MDCT Scanner Baharu Hospital Kota Marudu Manfaatkan Lebih 190,000 Penduduk Utara Sabah

0
SHARE

KOTA MARUDU: Lebih 192,000 penduduk di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat kini bakal menikmati akses pemeriksaan kesihatan yang lebih pantas dan tepat susulan penempatan Multidetector Computed Tomography (MDCT) Scanner di Hospital Kota Marudu.

Peralatan berteknologi tinggi itu dipasang di bangunan baharu Jabatan Radiologi hospital berkenaan pada Isnin, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap hospital berpakar di Kota Kinabalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata purata 1,500 hingga 1,800 pesakit dari tiga daerah tersebut sebelum ini perlu dirujuk ke ibu negeri setiap tahun untuk menjalani imbasan CT, namun kini boleh mendapatkan rawatan lebih dekat.

“Langkah ini bukan sahaja mempercepat proses diagnosis, tetapi juga meningkatkan kualiti rawatan yang diterima pesakit luar bandar,” katanya ketika merasmikan bangunan dan pelancaran peralatan tersebut.

Tambahnya, inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan berkualiti secara inklusif, sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam majlis sama, lapan unit mesin hemodialisis turut diserahkan kepada hospital-hospital kluster di Zon Kota Marudu – dua unit masing-masing untuk Hospital Kota Marudu dan Pitas, serta empat unit untuk Hospital Kudat.

Mesin tersebut merupakan sebahagian daripada 100 unit yang disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah skim Sabah Sejahtera, bertujuan membantu pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan secara lebih selesa dan mampu milik.