KOTA KINABALU: Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo), Daniel John Jambun, mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang didakwa telah menyerahkan tuntutan Malaysia ke atas Blok Ambalat kepada Indonesia tanpa rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Dalam satu kenyataan media, Daniel menyifatkan keputusan itu sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tindakan unilateral yang menafikan suara serta hak Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.
“Sabah bukan koloni. Sebarang keputusan melibatkan sempadan dan sumber negeri mesti dirunding bersama rakyat dan kerajaan negeri,” katanya, hari ini.
Blok Ambalat, terletak di perairan timur Sabah bersebelahan Pulau Sipadan dan Ligitan, dianggap sebagai kawasan maritim yang sangat strategik dengan potensi menghasilkan sehingga 1 juta tong minyak dan gas sehari.
BoPiMaFo menegaskan bahawa penyerahan tuntutan ke atas kawasan tersebut bukan hanya soal dasar luar, tetapi turut menyentuh soal pendapatan negeri, peluang pekerjaan dan keselamatan tenaga Sabah.
“Jika minyak itu berada di luar pantai Semenanjung, adakah Johor atau Selangor akan berdiam diri?” soal Daniel.
Susulan pendedahan ini, katanya, BoPiMaFo membuat empat tuntutan utama termasuk, Ketelusan penuh – Semua dokumen dan terma perjanjian Ambalat perlu didedahkan kepada umum; Penjelasan rasmi – PMX dan Menteri Luar diminta menjelaskan mengapa Sabah diketepikan.
Seterusnya, usul DUN Sabah – BoPiMaFo menggesa Dewan Undangan Negeri Sabah membawa usul rasmi menolak keputusan tersebut; dan Penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Maritim Sabah sebagai langkah menuntut dan mempertahankan sempadan serta sumber maritim negeri.
Daniel turut menyeru agar semua pemimpin Sabah, tanpa mengira latar belakang politik, segera bersatu mempertahankan hak dan kedaulatan negeri.
“Ini bukan lagi soal politik. Ini soal suara dan masa depan Sabah. Kedaulatan kita bukan untuk dikompromi,” tegasnya.






