IDS Nyata Sokongan Penuh Terhadap Seruan Hajiji Perkasa Wanita Sabah

IDS Nyata Sokongan Penuh Terhadap Seruan Hajiji Perkasa Wanita Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyatakan sokongan penuhnya terhadap seruan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk memperkasakan wanita di negeri ini, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.

Beliau menyifatkan seruan Ketua Menteri itu sebagai tepat pada masanya dan selari dengan visi IDS untuk mengukuhkan peranan serta kepimpinan wanita di semua peringkat masyarakat.

“Pemerkasaan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan gender, tetapi juga merupakan strategi penting dalam mencapai pembangunan negeri yang inklusif dan mampan,” katanya.

IDS, menurut beliau, telah mengambil langkah proaktif menerusi penubuhan Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) pada Julai 2024 bagi memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan, keusahawanan dan pembangunan profesional.

Sejak penubuhannya, WLIC telah menganjurkan pelbagai sesi libat urus termasuk bersama agensi kerajaan, GLC, sektor swasta dan NGO. Platform ini turut menyumbang input strategik kepada pembangunan Pelan Induk Kepimpinan Wanita Negeri Sabah yang bakal menjadi asas kepada penubuhan Kementerian Wanita Negeri.

Selaras dengan Belanjawan Negeri Sabah 2025, IDS dan rakan strategiknya, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), turut melancarkan Program Keusahawanan Wanita Muda: Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) pada Februari lalu.

Program ini memberi tumpuan kepada wanita muda luar bandar melalui pembiayaan, latihan perniagaan, bimbingan dan sokongan pemasaran.

Ia turut menawarkan struktur sokongan selama 18 bulan menerusi Majlis Penasihat Keusahawanan yang baru ditubuhkan.

Setakat ini, SCC telah menerima 16 permohonan pembiayaan berjumlah RM425,000 di bawah program ini, menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif tersebut.

Program peringkat daerah yang pertama telah dilaksanakan di Beaufort pada April lalu sebagai permulaan fasa pelaksanaan DAYANG di beberapa daerah terpilih.

“IDS komited memastikan setiap inisiatif bukan sahaja inklusif tetapi memberi kesan nyata kepada kualiti hidup wanita Sabah,” tambahnya.

Azizah turut menegaskan komitmen IDS untuk terus menyokong seruan Ketua Menteri ke arah membina masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan melalui penyertaan aktif golongan wanita.