Kardinal AS Pertama Dilantik Sebagai Paus, Seru Keamanan dan Bina Jambatan Perpaduan

Kardinal AS Pertama Dilantik Sebagai Paus, Seru Keamanan dan Bina Jambatan Perpaduan

0
SHARE

VATICAN: Buat pertama kali dalam sejarah 2,000 tahun Gereja Katolik, seorang rakyat Amerika Syarikat dilantik sebagai paus baharu awal pagi tadi.

Kardinal Robert Prevost, yang memilih nama Paus Leo XIV, tampil di balkoni Basilika St Peter buat kali pertama untuk memberi berkat kepada umat Katolik.

Dalam ucapan sulungnya, beliau menyeru keamanan dan kesatuan umat.

“Keamanan bersama kamu semua… Kejahatan tidak akan menang, kita dalam tangan Tuhan,” katanya kepada ribuan yang hadir dan penonton global.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Paus Francis.

Paus Leo menekankan perlunya Gereja Katolik menjadi gereja misionari yang membina jambatan dan sentiasa terbuka menerima semua orang.

Pemerhati menyifatkan mesej itu sebagai petanda awal arah kepimpinan beliau inklusif, aman dan berpaksikan kemanusiaan.

Asap putih dari cerobong Kapel Sistina menandakan pemilihan telah selesai pada petang Khamis, disusuli laungan “Habemus Papam!” (“Kita ada paus!”).

Paus ke-267 itu menerima sekurang-kurangnya 89 undi daripada 133 kardinal.

Paus Leo merupakan bekas ketua pejabat berpengaruh Vatican untuk para uskup dan pernah berkhidmat selama empat dekad di Peru, termasuk di kawasan miskin Chiclayo.

Dikenali sebagai tokoh sederhana dan dekat dengan rakyat, beliau kerap bersarapan bersama paderi biasa – satu gaya hidup yang mengingatkan kepada Paus Francis.

Nama “Leo” membawa makna tersendiri. Paus Leo XIII dikenali kerana membuka jalan kepada pemikiran sosial dalam gereja, termasuk hak buruh dan keadilan ekonomi.

Penganalisis percaya Paus Leo XIV bakal memperdalam komitmen gereja terhadap golongan tertindas.

Pemimpin dunia menyambut pelantikan ini dengan ucapan tahniah, manakala ribuan umat meraikan berita gembira itu di Dataran St Peter, sesetengahnya menunggu seharian dengan penuh harapan.