Tiga Didakwa, Terbabit Penipuan Projek PPRT dan Penyalahgunaan Akaun Bank di Ranau

Tiga Didakwa, Terbabit Penipuan Projek PPRT dan Penyalahgunaan Akaun Bank di Ranau

0
SHARE

RANAU: Tiga individu didakwa di Mahkamah Majistret Ranau atas pertuduhan berkaitan kes penipuan dan penyalahgunaan akaun bank yang melibatkan beberapa mangsa di daerah ini.

Menurut Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ranau, dua lelaki didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan selepas dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan projek pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Sabah Land Development Board (SLDB) yang sebenarnya tidak wujud. 

Selain itu, kedua-dua tertuduh turut didakwa menawarkan perkhidmatan katering perkahwinan yang tidak wujud sebelum meminta bayaran pendahuluan daripada mangsa, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan.

Siasatan polis mendapati kegiatan berkenaan dipercayai berlaku di sekitar daerah Ranau sepanjang tahun 2025 hingga awal tahun ini.

Sementara itu, seorang wanita turut didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana menyerahkan akaun bank miliknya kepada pihak lain sehingga digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan yang mengakibatkan kerugian kepada mangsa.

BSJK IPD Ranau dalam kenyataan berkata, kejayaan membawa ketiga-tiga individu itu ke mahkamah adalah hasil siasatan berterusan yang dijalankan bagi membanteras jenayah komersil di daerah berkenaan.

“Kejayaan pertuduhan ini merupakan hasil daripada siasatan berterusan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat BSJK IPD Ranau dalam usaha membanteras jenayah penipuan dan penyalahgunaan akaun bank di daerah ini,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan, menyewakan atau membenarkan akaun bank peribadi digunakan oleh pihak lain kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan serius dan boleh menyebabkan pemilik akaun berdepan tindakan undang-undang.

Menurut polis, sebelum ini terdapat pemilik akaun yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 424B dan Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti “keldai akaun” (mule account).

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terperinci terhadap sebarang tawaran projek, pelaburan atau perkhidmatan yang memerlukan pembayaran pendahuluan. Jangan sesekali menyerahkan atau membenarkan akaun bank peribadi digunakan oleh pihak lain kerana tindakan itu boleh menyebabkan pemilik akaun turut dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang,” menurut kenyataan itu lagi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah komersil serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan dan penyalahgunaan akaun bank.

Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.