KOTA KINABALU: Projek solar terapung di Empangan Babagon yang dilaksanakan oleh Jetama Sdn Bhd disasarkan siap dalam tempoh 12 bulan dengan kemajuan semasa kini mencecah kira-kira lima peratus sejak dilancarkan bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek tersebut kini berada pada fasa pelaksanaan awal selepas majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, kadar kemajuan projek masih pada peringkat permulaan memandangkan kerja-kerja pembinaan baru sahaja dimulakan.
“Projek ini baru ‘kick off’, jadi pelaksanaannya sedang berjalan. Setakat ini kita boleh katakan sekitar lima peratus kemajuan kerana ia baru dilancarkan bulan lalu,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih Jetama di sini, semalam.
Beliau berkata projek solar terapung di Empangan Babagon turut dilaksanakan serentak dengan satu lagi projek tenaga solar di Sandakan.
Katanya, kedua-dua projek tersebut berjalan secara selari dengan sasaran siap dalam tempoh setahun.
“Pelaksanaan projek Babagon dan Sandakan berjalan serentak. InsyaAllah kita sasarkan siap dalam tempoh 12 bulan,” katanya.
Ahmad Naim menjelaskan, projek solar terapung di Babagon dijangka menjana kapasiti sebanyak 13 megawatt (MW), manakala projek solar di Sandakan pula bakal menghasilkan 15MW.
Katanya, jumlah keseluruhan kapasiti tenaga daripada kedua-dua projek itu dijangka mencecah 28MW.
Bagaimanapun, beliau berkata agihan bekalan elektrik kepada pengguna akan ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Peranan Jetama adalah sebagai pemaju dan penyedia projek. Bagaimana tenaga itu diagihkan adalah di bawah bidang kuasa ECOS dan SESB,” katanya.
Mengulas kemungkinan peningkatan kos projek susulan ketegangan geopolitik dunia termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, Ahmad Naim berkata, projek berkenaan tidak dijangka terjejas kerana harga komponen telah dimuktamadkan pada peringkat awal perolehan.
“Untuk projek ini, harga telah kita ‘lock’ semasa peringkat perolehan. Jadi kesan kepada projek sedia ada adalah minimum,” katanya.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan projek baharu pada masa hadapan berdepan peningkatan kos sekiranya ketegangan geopolitik memberi kesan kepada rantaian bekalan global.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Hj Faisyal Yusof Hamdain Diego berkata syarikat itu turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan kepada rumah anak yatim serta komuniti di kawasan Pantai Barat.
Menurutnya, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan syarikat bagi membantu masyarakat setempat.
“Setiap tahun kita ada program sebegini dan turut menyalurkan sumbangan CSR kepada rumah anak yatim serta komuniti di kawasan Pantai Barat,” katanya.






