Enggan Baiki Motosikal Tanpa Upah, Mekanik Cedera Diserang Guna Besi

Enggan Baiki Motosikal Tanpa Upah, Mekanik Cedera Diserang Guna Besi

0
SHARE

TAWAU: Seorang mekanik cedera selepas diserang menggunakan sebatang besi oleh seorang lelaki di Kampung Kongsi 8, di sini, gara-gara enggan meneruskan kerja membaiki motosikal tanpa menerima bayaran upah.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dihubungi suspek untuk datang ke kediamannya bagi membaiki motosikal.

“Setibanya di lokasi, mangsa diminta terus melakukan pembaikan namun enggan berbuat demikian kerana upah tidak dibayar.

“Suspek kemudian bertindak agresif dan melastik kaki kiri mangsa menggunakan sebatang besi halus sehingga menembusi kaki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, mangsa yang menahan kesakitan telah dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialami.

Jelasnya, susulan laporan polis yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 32 tahun di kawasan sama tempat kejadian berlaku.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan pernah ditahan serta dihukum membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah dan mengelakkan tindakan yang melanggar undang-undang.