SINGAPURA – Dianggarkan 190 pekerja dari ibu pejabat Google Asia-Pasifik di Singapura telah diberhentikan kerja, pada Khamis baru-baru ini, lapor portal berita CNA yang berpangkalan di negara itu.
CNA memetik angka itu berdasarkan tiga sumber, sambil menambah ia menyumbang 5.5 peratus hingga 6 peratus sumber tenaga terbabit di Singapura.
Salah seorang sumber, seorang pekerja yang terjejas berkata: “Sukar untuk mengesahkan angka yang tepat. Sukar untuk mengetahui siapa yang terjejas.”
“Orang ramai cuba merungkainya dengan bercakap dengan orang lain.”
Dua sumber lain yang dipetik CNA ialah pekerja semasa dan Pengasas Komuniti Xoogler untuk bekas pekerja Google, Christopher Fong.
Jurucakap Google berkata, pihaknya “tidak dapat berkongsi” bilangan pekerja di Singapura yang terjejas, tetapi mengesahkan mereka sebahagian daripada pemberhentian kerja yang diumumkan oleh syarikat induk Google, Alphabet.