KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen, selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada 1963.
Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, sudah tiba masanya prinsip berkenaan diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas dan dilaksanakan selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak yang disifatkannya sebagai satu perkembangan positif dan penting.
“Saya juga menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya cadangan ini disusuli dengan tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat.
“Prinsipnya jelas: Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen, selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurut Ketua Merinyu Projek Sabah itu, ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen.
Bagaimanapun katanya, keseimbangan itu berubah susulan keluarnya Singapura daripada Malaysia pada 1965.
“Pada pandangan saya, pembahagian kerusi Parlimen sepatutnya disusun semula ketika itu bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri-negeri Borneo.
“Oleh itu, isu ini bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah soal mengembalikan satu keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, selepas lebih 60 tahun, perkara berkenaan perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah konkrit dan pelaksanaan.
Tegasnya, usaha mengembalikan keseimbangan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak bukan bertujuan melemahkan Malaysia.
“Mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia. Sebaliknya, ia akan memperkukuhkan perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia,” katanya.






