KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunternya di Kota Kinabalu mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.
Dalam satu kenyataan kelmarin, KWSP memaklumkan pekerja berkenaan sedang menjalani rawatan manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.
“Ahli-ahli yang telah membuat janji temu bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online (JTO)…
“Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP di Sabah yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun,” katanya.
Menurut KWSP lagi, pihaknya juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pekerjanya dan orang ramai.
Katanya, semua anggota perkhidmatan KWSP Kota Kinabalu akan menjalani ujian swab COVID-19, dan sekiranya positif, mereka akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
KWSP berkata, ahli-ahli yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.