PENAMPANG: Jetama Sdn Bhd mencatat sejarah apabila menerajui pelaksanaan projek solar terapung pertama di Sabah bernilai RM63 juta di Empangan Babagon, sekali gus menjadikan empangan itu perintis konsep floating solar on potable water di Malaysia.
Projek berkapasiti 13.21MWac itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang menyifatkan pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai langkah signifikan dalam agenda tenaga boleh baharu negeri.
“Majlis pada hari ini membawa makna yang besar kepada Sabah. Ia mencerminkan kesungguhan dan keupayaan negeri untuk melaksanakan inisiatif tenaga boleh baharu yang moden dan berimpak tinggi.
“Projek solar fotovoltaik terapung di Empangan Babagon merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah dan juga yang pertama di Malaysia bagi konsep floating solar on potable water,” katanya.
Menurut beliau, empangan Babagon merupakan aset penting negeri khususnya sebagai sumber bekalan air kepada penduduk, justeru pelaksanaan projek itu perlu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan pematuhan teknikal.
“Inovasi mesti bergerak seiring dengan tanggungjawab. Kejayaan projek tidak hanya diukur pada pembinaan dan pelancaran, tetapi lebih utama pada operasi jangka panjang yang selamat dan mematuhi standard yang ditetapkan,” tegasnya.
Masidi berkata, projek tenaga boleh baharu seperti ini selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan seimbang antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Pelaksanaan projek seperti ini menyumbang kepada pengukuhan kapasiti tenaga bersih, pemerkasaan industri hijau, pembukaan peluang pekerjaan serta pembangunan vendor tempatan, di samping mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama strategik antara Jetama, ECoS, Sabah Electricity Sdn Berhad (SE) dan Sabah Development Bank (SDB) dalam menjayakan projek tersebut.
“Kerjasama seperti ini wajar dicontohi kerana ia bukan sahaja mempercepat pelaksanaan projek, malah membantu membina keupayaan teknikal tempatan serta memperluas rantaian nilai di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek solar terapung Babagon melibatkan kawasan seluas 40 ekar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 220 ekar permukaan empangan.
“Projek ini membuktikan bahawa Sabah melalui GLC dan rakan industri tempatan mampu menerajui inovasi tenaga boleh baharu dengan mengambil kira keperluan negeri, keutamaan rakyat dan kelestarian sumber,” katanya.
Selain projek di Babagon, Jetama turut melaksanakan projek solar PV darat berkapasiti 15MWac di Batu Sapi, Sandakan dengan kos RM53 juta.
Dengan pelaksanaan kedua-dua projek itu, kapasiti baharu sebanyak 28.21MWac ditambah. Digabungkan dengan ladang solar sedia ada di Labuan berkapasiti 10MWac, jumlah keseluruhan kapasiti solar di bawah inisiatif Jetama kini mencecah 38.21MWac.
Masidi berharap kedua-dua projek itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif tenaga boleh baharu di Sabah dengan penekanan terhadap tadbir urus teratur dan standard pelaksanaan tinggi.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan projek pembangunan yang memberi nilai tambah, namun menuntut standard pelaksanaan yang tinggi agar kepentingan rakyat dan kelestarian aset awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Pelaburan keseluruhan RM116 juta bagi projek di Babagon dan Batu Sapi itu dilihat sebagai langkah konkrit memperkukuh kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sabah serta mempercepat agenda pembangunan ekonomi hijau negeri.






