KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa kepentingan serta suara negeri perlu terus dibawa ke peringkat Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta berterusan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-148 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, di sini, Selasa.
Menurut Hajiji, mesyuarat tersebut merupakan platform penting untuk menyelaras dasar antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain membolehkan pertukaran pandangan secara langsung dalam memastikan kepentingan negeri terus diberikan perhatian di peringkat nasional.
“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaras dasar, berkongsi pandangan serta memastikan suara dan kepentingan negeri terus dibawa ke peringkat Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan asas utama kepada kestabilan politik, pembangunan berterusan serta masa depan Sabah yang lebih terjamin.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah kunci kepada kestabilan, pembangunan berterusan dan masa depan Sabah yang lebih terjamin,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Ketua Menteri diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.
Pada Rabu dan Khamis, Hajiji dijadual mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara.






