PUTATAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Mitsubishi Triton di Jalan Belakang Kem Lok Kawi, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.08 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan dengan bantuan BBP Penampang digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati pemandu Perodua Alza tersepit dan berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dua penumpang lain dalam kenderaan sama mengalami cedera ringan.
“Pemandu Mitsubishi Triton pula cedera parah tetapi tidak tersepit. Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan KKM sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I,” katanya.
Operasi melibatkan lapan anggota dengan dua jentera dan tamat sepenuhnya pada jam 6.40 pagi selepas kerja-kerja pembersihan kawasan dijalankan.
Kes kemalangan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.






