Kita Satu Persekutuan, Namun Tuntut Pelaksanaan MA63 Sebagai Satu Blok – Ewon

Kita Satu Persekutuan, Namun Tuntut Pelaksanaan MA63 Sebagai Satu Blok – Ewon

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, namun kedua-dua negeri itu menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak yang termaktub di dalamnya, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, tuntutan tersebut dibuat secara bersama kerana Sabah dan Sarawak berkongsi banyak hak yang hampir sama seperti yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

Menurutnya, pelbagai pandangan boleh diberikan berhubung istilah “blok Borneo”, namun pada asasnya Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan bersama dalam menuntut pelaksanaan MA63.

“Setiap orang berhak menyuarakan pandangan. Sama ada dipanggil wilayah Borneo, blok Borneo atau wilayah Sabah dan Sarawak, hakikatnya kita berkongsi hak yang hampir sama dalam Perjanjian Malaysia.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Persekutuan Malaysia. Itu adalah fakta. Jadi kita hanya menuntut apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan berunding sebagai Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPKO Putatan di perkarangan Taipakkung Putatan, di sini pada Khamis.

Ewon berkata, dari sudut geografi, istilah “blok Borneo” juga boleh dianggap tepat kerana Sabah dan Sarawak berada di pulau Borneo serta dipisahkan daripada Semenanjung oleh Laut China Selatan.

Namun dalam konteks pembinaan Persekutuan, beliau berkata pandangan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga tepat kerana Sabah dan Sarawak masih berada dalam satu Persekutuan dan sebuah negara Malaysia yang perlu terus bekerjasama.

“Untuk memastikan Persekutuan Malaysia ini terus berkembang sebagai sebuah negara, maka Perjanjian Malaysia perlu ditunaikan dan hak Sabah serta Sarawak mesti dilaksanakan.

“Jadi adalah sesuatu yang semula jadi bagi pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri ini untuk bersatu memperjuangkan hak kita,” katanya.

Beliau menegaskan selagi perkara yang dipersetujui dalam MA63 belum dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan untuk menuntut pelaksanaannya akan terus diteruskan.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa platform rasmi bagi merundingkan pelaksanaan MA63, termasuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang setiap tahun.

Katanya, platform tersebut menjadi saluran rundingan antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan hak kedua-dua negeri dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ewon turut menjelaskan bahawa ketika Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia, terdapat jaminan perlindungan perlembagaan kepada wilayah di luar Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketika itu, katanya, Semenanjung Malaysia tidak mempunyai kuasa perundangan sehingga dua pertiga melalui kerusi Parlimen.

Namun jaminan tersebut terhakis selepas Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia, walaupun jaminan itu merupakan antara sebab Sabah dan Sarawak bersetuju menubuhkan Malaysia.

“Sebab itu ada pandangan yang melihat Sabah dan Sarawak sebagai satu blok di Borneo. Kita berada di wilayah sendiri yang dipisahkan oleh Laut China Selatan dan kita menuntut jaminan perlindungan serta hak-hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Ewon turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai ketegasan dalam mempertahankan haknya termasuk berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri.

Beliau merujuk kepada tindakan Jabatan Peguam Negara yang mengemukakan notis penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan rundingan dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah mengenai perkara tersebut.

Katanya, kerajaan Sabah melalui Peguam Besar Sabah telah menyatakan bahawa perkara itu akan dicabar di mahkamah.

“Ertinya kita akan bertegas dengan cara kita sendiri. Sekarang ini adalah era di mana wibawa kepimpinan semakin memuncak di Sabah dan Sarawak.

“Saya ingin mengingatkan rakan-rakan di Semenanjung agar tidak lagi memperlekehkan Sabah dan Sarawak seperti mana sebelum ini.

“Mereka mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, tetapi kita juga mempunyai hak yang sama untuk menyatakan bahawa tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak mungkin ditubuhkan.

“Saya juga berani mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak sebenarnya telah menyumbang kepada pembangunan di Semenanjung melalui hasil minyak dan gas selama ini,” katanya.