KOTA KINABALU: Posisi mencangkung ketika membuang air besar didapati lebih selari dengan fisiologi tubuh manusia dan dapat membantu proses penyahtinjaan berlaku dengan lebih mudah serta semula jadi, menurut pakar perubatan.
Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi berkata, daripada sudut anatomi tubuh manusia, posisi mencangkung membantu meluruskan sudut antara rektum dan saluran dubur sekali gus mengurangkan rintangan ketika proses pembuangan najis.
Menurut beliau, proses penyahtinjaan bermula apabila najis memasuki rektum yang kemudian mencetuskan refleks saraf untuk memberi isyarat kepada otak bahawa sudah tiba masanya untuk membuang air besar.
Katanya, dalam keadaan normal beberapa proses berlaku serentak termasuk pengenduran otot sfinkter dubur, pengecutan rektum serta peningkatan tekanan dalam rongga abdomen bagi membantu menolak najis keluar.
“Namun terdapat satu faktor anatomi yang boleh menyukarkan proses ini iaitu sudut antara rektum dan saluran dubur yang dikawal oleh otot puborektalis.
“Dalam posisi duduk biasa, otot ini masih berada dalam keadaan separa tegang menyebabkan sudut tersebut kekal lebih tajam dan mewujudkan sedikit rintangan terhadap laluan najis.
“Sebaliknya dalam posisi mencangkung, otot puborektalis lebih relaks dan sudut antara rektum serta dubur menjadi lebih lurus sekali gus memudahkan proses pengosongan usus secara lebih lengkap dan kurang meneran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, amalan meneran secara berlebihan ketika membuang air besar boleh meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen serta pada saluran darah di kawasan dubur.
Dalam jangka panjang, keadaan itu boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti buasir, rekahan dubur serta perasaan tidak puas selepas membuang air besar.
“Proses pembuangan seharusnya berlaku secara semula jadi tanpa paksaan. Jika najis sukar keluar, adalah lebih baik menunggu dorongan semula jadi daripada usus berbanding memaksa diri untuk meneran,” katanya.
Sementara itu, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati berkata kebanyakan rumah moden kini menggunakan tandas duduk, namun prinsip fisiologi yang sama masih boleh diaplikasikan.
Menurutnya, pengguna tandas duduk boleh mencondongkan badan sedikit ke hadapan atau menggunakan bangku kecil untuk meninggikan kaki supaya lutut berada lebih tinggi daripada paras pinggul.
Katanya, posisi tersebut mampu meniru keadaan mencangkung sekali gus membantu meluruskan sudut anorektal.
“Bagaimanapun, mencangkung di atas mangkuk tandas duduk adalah berbahaya kerana boleh menyebabkan kecederaan sekiranya mangkuk tandas pecah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membawa telefon bimbit ke dalam tandas kerana ia boleh menyebabkan seseorang duduk terlalu lama di dalam tandas.
Menurutnya, pakar kolorektal menyarankan tempoh berada di dalam tandas untuk membuang air besar tidak melebihi lima minit.
“Duduk terlalu lama terutama sambil meneran boleh meningkatkan risiko masalah anorektal termasuk buasir.
“Selain itu, pengambilan serat dan air yang mencukupi serta membina rutin pembuangan air besar yang teratur juga penting untuk mengekalkan kesihatan usus,” katanya.
Beliau menambah, kebersihan kawasan dubur selepas membuang air besar juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan keradangan, kegatalan atau jangkitan pada kawasan anorektal.
Menurutnya, membersihkan kawasan tersebut dengan air atau tisu yang lembut dan mengelakkan gosokan terlalu kuat dapat membantu mengurangkan iritasi pada kulit yang sensitif.
Secara keseluruhannya, posisi mencangkung dilihat lebih hampir kepada kedudukan semula jadi tubuh manusia untuk proses penyahtinjaan kerana ia membantu meluruskan laluan rektum, mengurangkan rintangan serta meminimumkan keperluan untuk meneran.






